Pembunuh No 1 Golongan Muda
Penyakit
jantung memang dinobatkan sebagai penyakit pembunuh
nombor satu di negara kita dan dengan adanya pelbagai kempen Kementerian
Kesihatan, rasanya semua orang tahu faktor risiko untuk mendapatnya. Meskipun pengetahuan itu ada, ia belum mampu meningkatkan
kesedaran orang ramai untuk benar-benar berusaha mencegahnya.
Buktinya
catatan kes sakit jantung tetap tinggi, malah yang lebih membimbangkan ialah
adanya ‘trend’ penyakit ini mula menular pada golongan muda sekitar umur 30-an dan 40-an, sedangkan ia pada
asalnya dikategorikan sebagai penyakit orang tua (60 tahun ke atas) kerana
peningkatan umur antara faktor risiko penyakit jantung yang tidak boleh
dikawal.
Sebut
saja apa kaedah rawatan terkini untuk penyakit jantung, boleh dikatakan
semuanya ada di negara kita, tetapi ia masih tidak boleh menjamin setiap
pesakit dapat diselamatkan apabila mengalami serangan jantung.
Malah
ramai pakar kardiologi (jantung) menyifatkan pesakit yang berjaya mengharungi
serangan jantung pertama sebagai sangat bertuah dan perlu menghargai peluang ‘hidup kali kedua’ dengan
sebaik-baiknya. Ini kerana ramai pesakit meninggal dunia pada serangan jantung
pertama.
Perunding
Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr Shaiful Azmi Yahaya berkata,
penyakit jantung memberi impak atau kesan besar dalam kehidupan seseorang. Ia tidak hanya membabitkan pesakit malah
kesannya turut dirasai banyak pihak, termasuk keluarga, masyarakat dan negara
kerana kos untuk rawatan sakit jantung bukan murah.
Sakit
jantung ada banyak puncanya, tetapi paling utama disebabkan penyumbatan salur darah. Untuk masalah
ini banyak kaedah rawatan ditawarkan seperti angioplasti, ubat dan
pembedahan. Kaedah
angioplasti yang paling mudah ialah memasukkan kateter yang membawa belon ke
dalam salur darah tersumbat. Apabila
sampai ke bahagian ini, belon dikembangkan untuk membuka semula saluran darah
yang sempit akibat pengumpulan plak
kolesterol. Kemudian belon ini
dikuncupkan dan ditarik keluar. Walaupun kaedah ini membantu ramai pesakit, 25
hingga 30 peratus pesakit mengalami penguncupan semula salur darah di bahagian
tersumbat selepas belon dikeluarkan.
Dalam
kes seperti ini, stent digunakan untuk
memastikan masalah penguncupan semula salur darah tidak berlaku. Stent
ialah satu alat seperti jaring dawai yang sangat halus diperbuat daripada logam.
Bagaimanapun, logam boleh
menyebabkan pengumpulan darah yang akhirnya menyekat aliran darah di bahagian
berkenaan. Ini sebabnya semua pesakit perlu mengambil ubat pencair darah untuk mengelak masalah pengumpulan darah beku
pada stent.
Kemudian
penyelidik menghasilkan stent bersalut
polimer dan pada polimer ini diletakkan ubat untuk mengelak salur
pembentukan parut pada salur darah. Bahagian
salur darah yang diletakkan stent akan mengalami luka tetapi kehadiran ubat
pada stent memperlahankan penyembuhan luka berkenaan. Ini bermakna sepanjang tempoh penyembuhan,
ada risiko berlakunya pembentukan darah
beku yang boleh menyebabkan serangan jantung.
“Dalam
tempoh 10 tahun kebelakangan ini, penggunaan stent dalam rawatan salur darah
tersumbat menjadi semakin penting. Oleh kerana stent digunakan sekarang ada
beberapa kekurangan, penyelidik kini mencipta stent yang boleh larut dan hilang
sendiri dalam tempoh tiga hingga enam bulan.
“Dengan adanya stent yang boleh larut dalam badan, pesakit boleh diberi
stent beberapa kali jika salur darah tersumbat di tempat sama. Kajian awal
dilakukan di luar negara dan keputusan diterima sangat memberangsangkan.
“Lebih
menarik, IJN juga akan terbabit dalam kajian penggunaan stent boleh larut yang
dijangka bermula awal tahun ini,” katanya.
Perkembangan lain untuk rawatan salur darah tersumbat ialah kemunculan belon berubat. Ia berita
baik bagi pesakit yang tidak sesuai menjalani kaedah stent sama ada disebabkan masalah alahan, tidak boleh makan ubat
pencair darah, sudah menjalani banyak rawatan stent atau tidak berjaya dalam
rawatan dengan stent.
Walaupun
pada asalnya stent direka untuk masalah penyumbatan salur darah ke jantung,
kini ia turut digunakan bagi salur darah di bahagian bawah badan (kaki),
terutama di kalangan pesakit kencing manis. Saiz stent yang digunakan lebih
besar; sesuai dengan saiz salur darah di kaki.
Bagaimanapun, ada banyak kes stent yang dimasukkan pada salur darah di
kaki mengalami keretakan atau pecah dan menyebabkan salur darah menjadi sempit
semula.
Bagaimana
stent boleh retak atau pecah? Salur darah di kaki terletak di celah-celah otot
yang besar dan kita melakukan banyak aktiviti lasak dengan kaki yang memberi
tekanan kepada stent. Namun kata Dr
Shaiful, penggantian stent yang rosak hanya dilakukan jika ada keperluan iaitu
apabila pesakit mengadu mengalami gejala akibat penyumbatan semula salur darah.
Jika tidak, pesakit tidak memerlukan rawatan susulan. Jadi kemunculan belon
berubat boleh mengatasi masalah kerosakan stent.
Penyakit
jantung juga boleh disebabkan masalah pada injap di jantung dan kini ada kaedah
dipanggil Penukaran Injap Gantian Melalui Kateter (TAVI). Biasanya rawatan untuk injap membabitkan
prosedur besar seperti pembedahan tetapi dengan adanya kaedah TAVI, pesakit tua
yang berisiko tinggi untuk menjalani pembedahan kini boleh diberi rawatan.
“Kaedah
ini hanya terhad kepada pesakit jantung berisiko tinggi yang berusia lanjut (70
dan 80 tahun) dan menghidap darah tinggi, kencing manis atau lelah kerana
kosnya mahal iaitu sekitar RM140,000,00 termasuk harga injap jantung gantian
berharga RM112,000.
“Sejak
diperkenalkan pada hujung 2009, kita merawat 11 pesakit dan ia pencapaian yang
sangat membanggakan memandangkan IJN adalah institusi pertama di Asia menggunakan
kaedah ini,” katanya. Begitupun, Dr
Shaiful mengingatkan setiap orang supaya serius menjaga kesihatan diri sendiri
dan tidak terperangkap dalam jerat penyakit gaya hidup, terutama kencing manis
dan obesiti yang disifatkan sebagai perangsang kepada pelbagai penyakit lain.
“Bagi
yang merokok, bertekadlah untuk berhenti
merokok secepat mungkin. Rokok menggandakan risiko penyakit jantung dan
serangan boleh berlaku lebih awal (usia muda). “Serangan jantung pada orang muda berlaku apabila
plak kolesterol dalam salur darah mereka pecah. Darah berkumpul pada plak yang
pecah ini dan akhirnya menyebabkan saluran darah tersumbat dan jika seseorang
itu merokok, lebih cepatlah dia mendapat serangan jantung.
“Memang
kita berbangga dengan pencapaian IJN yang berjaya mencapai sasaran merawat
lebih 9,600 kes berbanding 7,743 kes pada 2009, tetapi ia berita buruk kepada
negara kerana menandakan semakin ramai penduduk menghidap penyakit
jantung. “Sampai masanya kita nilai
semula gaya hidup dan pemakanan supaya masalah ini tidak bertambah buruk,”
katanya.
Harian
Metro : 09/01/2011
Comments
Post a Comment