Perubahan Ke Arah Lebih Cemerlang
Kalau
kita membaca buku-buku berunsurkan Tamadun Islam, Umat Islam pada ketika itu
adalah umat yang kuat, bersemangat tinggi, banyak terlibat dalam penyelidikan
perubatan, astronomi dan sebagainya.
Bagaimana umat Islam yang terkenal pada masa dahulu kini mundur?
Pada
masa kini, Umat Islam lebih mementingkan diri sendiri, malas berusaha, mudah
putus asa dan bermacam-macam lagi. Semangat perjuangan untuk agama telah
digantikan dengan perjuangan kepentingan peribadi. Terdapat banyak jurang antara kaya dan
miskin. Gejala-gejala ini telah
menyebabkan umat Islam mulai mundur. Ini ditambah lagi dengan pelbagai masalah
lain yang menekan jiwa umat Islam kini seperti kefahaman Islam yang cetek,
penyelewengan akidah, mengasingkan diri dari urusan dunia, gejala sosial,
perpecahan keluarga dan sebagainya. Akibatnya satu demi satu kerajaan Islam
ditakluki dan dijajah, lantas kegemilangan Islam terus lenyap dan hancur di
tangan musuh Islam.
Terdapat
kebaikan apabila kita menggunakan khidmat media sosial di tempat yang
sepatutnya. Telah timbul kesedaran di
kalangan umat Islam untuk mengambil berat dan memikirkan tentang masalah yang
sedang dihadapi oleh umat Islam yang lain di serata pelosok dunia. Masalah
tersebut yang kian hari kian meluas, telah mencabar mereka agar bangkit
berusaha dengan cara yang lebih gigih, lebih tekun dan lebih bersungguh-sungguh
agar seluruh umat Islam tidak terus ketinggalan dan mundur di dalam usaha untuk
mengembalikan segala bentuk kemajuan terhadap agama, bangsa dan juga negara.
Dan antara cara ataupun kaedah yang dapat dilaksanakan untuk memastikan
objektif-objektif tersebut tercapai ialah melalui pembinaan peribadi muslim.
Hijrah
pada masa dahulu adalah penghijrahan dari satu tempat ke satu tempat yang
lain. Tetapi hijrah pada masa sekarang
adalah perubahan dari baik kepada lebih baik. Dari buruk kepada baik. Islam menggalakkan kita berhijrah keluar dari
medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah
pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan
kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta
berada pada lingkungan rahmat dan keredhaan dari Ilahi. Tanpa sifat-sifat
sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak
akan berhasil. Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Tuhan
memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha.
Allah s.w.t telah
berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:
'Sesungguhnya Allah
tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang
ada pada diri mereka'.
Apabila
umat Islam memiliki inisiatif untuk mengubah keadaan mereka sendiri, maka
pertolongan Allah pasti datang. Allah akan mengubah keadaan mereka dari
kehinaan dan kerendahan kepada kemuliaan dan ketinggian. Dari keadaan yang
kurang maju kepada keadaan yang lebih maju dan berjaya. Pertolongan Allah s.w.t
akan tiba apabila umat Islam sanggup membela agama Allah. Ini dibuktikan oleh
firman Allah s.w.t dalam
surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud :
'Wahai orang-orang yang
beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk
mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu'.
Allah
s.w.t membekalkan kita dengan cukup kelengkapan untuk menjadi manusia yang
boleh berdikari dan berikhtiar dalam menentukan arah kehidupan. Kita dibekalkan
dengan peralatan yang membolehkan kita memasuki dan merubah segala apa yang ada
di sekeliling kita dan juga apa yang ada di dalam minda (pemikiran, persepsi,
kesedaran dan emosi).
Pembangunan
insan juga mestilah menitikberatkan pembangunan mental (akal). Akal manusia
mestilah diisi dengan pelbagai jenis ilmu yang dianjurkan oleh Islam untuk
mempelajarinya. Antara ilmu yang perlu dititikberatkan ialah ilmu berkenaan
dengan Fardhu Ain seperti ilmu Tauhid, Feqah dan juga Tasawwuf serta ilmu-ilmu
pengetahuan yang lain seperti ilmu Sains dan Geografi. Melalui ilmu tersebut,
para pelajar tidak akan sahaja mengenali hakikat sesuatu kejadian berdasarkan
kepada sifat tabiinya sahaja, bahkan mereka akan cuba berfikir bahawa di
sebalik segala kejadian tersebut, ada Penciptanya iaitu Allah s.w.t. Kesan
sampingan yang akan timbul ialah mereka akan berasa takjub atas kekuasaan Allah
ini dan seterusnya akan mendorong jiwa mereka untuk tunduk patuh kepada
perintah-Nya.
'Serulah ke jalan
Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran
yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara
yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan
orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk'.
Sekiranya
jiwa dan akal sahaja dibangunkan, tetapi fizikal lemah, maka tamadun Islam dan
peribadi muslim juga akan terhalang pembinaannya. Kalau diamati, apakah faedah
yang dapat diperolehi daripada seorang manusia yang lemah tubuh badannya, tidak
bermaya dan lesu? Setiap masa ditimpa dengan pelbagai jenis penyakit. Kita
tidak menafikan bahawa sakit itu merupakan ujian dari Allah s.w.t. Namun
demikian, seseorang manusia itu tidak boleh menempah maut dengan membiarkan
dirinya diselubungi dengan pelbagai jenis penyakit yang mungkin boleh membawa
maut.
Untuk
meningkatkan taraf kesihatan diri, kandungan makanan yang diambil perlulah
seimbang iaitu memenuhi segala keperluan seperti protein, karbohidrat, garam
galian, vitamin dan sebagainya. Makanan yang akan diambil juga mestilah
berpunca daripada sumber yang halal dan cara penyediaannya juga mestilah
mengikut kehendak syarak. Ini amat bersesuaian dengan maksud firman Allah s.w.t
di dalam surah al-Baqarah ayat 172 :
'Wahai orang-orang yang
beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami
berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya
beribadat kepada-Nya'
Segala
adab makan dan minum yang telah dianjurkan oleh Islam juga perlulah diamalkan.
Di samping itu juga, kita perlu melakukan aktiviti senaman untuk membina badan
yang sihat dan minda yang cerdas.
Setelah
proses pembinaan insan sudah meresap di dalam diri dan minda kita, maka sudah
tentulah mudah untuk kita mencurahkan segala sumbangan yang bermanfaat sama ada
untuk kebaikan agama, masyarakat dan juga negara. Dari segi agama kesan
perubahan kepada penghayatan Islam yang sebenar, sudah tentu dapat mengelakkan
sebarang perselisihan ataupun kekeliruan berkenaan perkara-perkara asas dalam
agama Islam itu sendiri. Malahan jauh sekali untuk kita mengenepikan golongan
ulama yang merupakan pewaris para nabi di dalam hal-hal yang berkaitan dengan
ajaran Islam.
Di
samping itu, generasi yang mantap pembinaan peribadinya akan mampu memainkan
peranan untuk mengembangkan penghayatan Islam itu sendiri. Ini secara jelas
telah disebut oleh Allah s.w.t di dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud
:
'Kamu (wahai umat
Muhammad ) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,
(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada
segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah
(dengan sebenar-benar iman)'.
Sumbangan
kepada negara juga dapat dicapai dengan menjauhkan sentimen perkauman ataupun
perasaan anti pembangunan. Umat yang terbaik ialah umat yang berfikiran secara
optimis dengan melihat bahawa setiap pembangunan yang dilaksanakan ada
kebaikannya. Namun, pembangunan material dan pembangunan insan mesti dipastikan
berjalan seiringan di antara kedua-duanya. Ini penting supaya negara yang wujud
kelak berkeadaan aman dan makmur serta terhindar dari segala unsur-unsur yang
boleh memusnahkan pembangunan ummah dan negara itu sendiri. Apabila sesebuah
masyarakat itu kukuh, maka akan lahir pula tokoh-tokoh yang berwibawa yang
menjadi pemimpin bagi setiap kelompok masyarakat.
Kesimpulannya,
tuntutan penghayatan hijrah dalam erti kata perubahan diri dari segi jiwa,
mental dan fizikal kini semakin mendesak. Ini memandangkan kepada suasana
sosial yang semakin parah dewasa ini. Umat Islam kini tidak ada pilihan lain
selain daripada merealisasikan tuntutan hijrah dalam pengertiannya yang sesuai
bagi menjamin kejayaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Pelbagai
cara dan pendekatan telah diambil oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk
memantapkan lagi proses pembinaan insan yang berkualiti dan bertakwa. Namun,
apa yang pentingnya ialah inisiatif dalam diri kita untuk mengaplikasikan
konsep hijrah itu sendiri. Dan perlu juga diingatkan bahawa segala usaha yang
dibuat bagi pembinaan insan yang kamil dari segi jiwa, mental dan fizikal
hendaklah berteraskan :
'Aku tinggalkan kepada
kamu dua perkara, di mana kamu semua tidak akan sesat selama-lamanya selagi
kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul'.
(Hadith Riwayat Imam
Malik)
Ubah |
Kredit : www.islam.gov.my
Comments
Post a Comment